Oktoberfest bukan hanya bir semata-mata.

12140613_10153022268756721_1830086130693699957_n
Jangan salah faham, kami tak minum bir. Ini cuma air Coke.

Sehari dua ni kecoh pasal ‘pesta arak’ yang akan diadakan di beberapa tempat di Malaysia. Semua parti politik yang berlatar belakangkan Islam atau Melayu masing-masing nak jadi jaguh dalam mempertahankan negara Islam kononnya. Tetapi mereka lupa yang penduduk Malaysia bukan seratus peratus beragama Islam. Muslim di Malaysia hanya sekitar 60 peratus sahaja itupun kalau nak dikira Islam sebenar ‘ala Melayu’ mungkin hanya 30 peratus. Selebihnya bukan berpegang pada mazhab Shafie, liberal atau Islam dalam ic sahaja.

Pesta arak yang kecoh tu sebenarnya adalah Oktoberfest yang merupakan sebuah festival yang terbesar di Jerman dan berasal dari bandar yang bernama Munich. Saya berpeluang merasai pengalaman Oktoberfest di Vietnam kerana mendapat jemputan daripada pelanggan syarikat tempat suami berkerja. Kami dapat tiket percuma, kalau nak bayar sendiri memang tak lah sebab kami berdua tak minum minuman keras. Nasib baik ada disediakan air Coke selain bir…   🙂

Oktoberfest memang dikenali kerana bir, tetapi festival ini bukanlah hanya bir semata-mata. Ianya adalah sebuah perayaan kebudayaan Jerman yang pada kita sangat bertentangan kerana minuman utama yang dihidangkan. Namun pada festival inilah kita berpeluang melihat pakaian tradional orang Jerman iaitu Dirndl dan Lederhose, makanan, muzik serta tarian mereka. Bila sebut pasal makanan, mesti kita ingat semua yang ada orang Islam tak boleh makan. Sebenarnya ada jer makanan yang kita boleh makan seperti pretzel, roti dan salad. Kalau sosej Jerman tu memang tak payah pandang lah. Pada pendapat saya, tak salah kalau kita nak pergi ke Oktoberfest sekali seumur hidup untuk mengetahui tentang budaya orang lain. Asalkan jangan minum bir sudah.

12109318_10153022269321721_7619900797228520996_n
Sebahagian makanan yang dihidangkan iaitu roti Jerman dan pretzel.
12079444_10153022268556721_2989676859790641004_n
Persembahan muzik dan nyanyian. Penyanyi perempuan ini memakai dirndl, baju tradional Jerman.

Malangnya di Malaysia isu ini lebih banyak dipolitikkan dan ditokok tambah dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal. Kita mesti ingat Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama, bukan hanya diduduki oleh orang Melayu Islam. Toleransi yang tinggi antara kaum adalah sangat penting untuk menjaga keharmonian dalam masyarakat di Malaysia. Oleh itu kita tidak patut menyekat apa yang orang bukan Islam mahukan. Cuma kita pilih untuk tidak menyertai mereka.

12088206_10153022269261721_3517879914761512450_n
Begini la cara mereka merayakan pesta ini. Makan dan minum bersama rakan-rakan.

Kesimpulannya kita perlu membuang sikap pentingkan diri sendiri  dan prejudis terhadap bangsa lain. Alangkah bagus sekiranya orang Melayu Islam dapat melihat kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia merupakan satu kelebihan, bukan kekurangan dan boleh mempelajari sesuatu yang baik dari kaum yang lain. Sekian…

Handphone Jatuh Dalam Laut Dijumpai Semula Sebulan kemudian.

Baru-baru ini hujan lebat dan ribut telah melanda pesisiran pantai di utara semenanjung Malaysia. Banyak tempat telah terjejas seperti di Pulau Pinang dan Langkawi di mana Pulau Pinang telah mengalami banjir dan banyak penerbangan terpaksa ditunda. Walaupun keadaan cuaca tidak beberapa baik, keluarga saya dan saudara mara tetap meneruskan rombongan Cik Kiah di Langkawi selama beberapa hari. Dari hari pertama sampai, hujan turun tidak berhenti-henti. Sudahnya percutian kali ini lebih kepada memerap di hotel selain keluar untuk jalan-jalan cari makan dan membeli-belah. Hujan hanya berhenti ketika hari terakhir mereka di sana.

Sebelum pulang, mak saya dan adiknya berjalan-jalan di tepi pantai sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada Pantai Cenang dan Langkawi. Tiba-tiba dia ternampak sesuatu di atas pasir lalu mengutipnya. Ia adalah handphone di dalam beg gantung plastik bertutup. Di dalamnya juga terdapat duit berjumlah rm168.50 yang masih dalam keadaan baik lalu mak memberikannya kepada adik saya di mana adik cuba mencari nombor telefon untuk menghubungi pemilik tersebut. Akhirnya mereka berjaya menghubungi pemilik beg itu yang berasal dari Pulau Pinang. Menurut pemilik tersebut, beg gantung itu telah terjatuh di dalam laut semasa dia dan kawan-kawan nya bercuti di Langkawi sebulan yang lalu. Maknanya handphone tersebut telah berada di dalam laut selama lebih dari sebulan sebelum terdampar di pantai!

IMG-20170923-WA0002

Disebabkan terlalu lama di dalam laut, rumpai laut telah tumbuh di atas plastik beg ini.

IMG-20170923-WA0001

Duit pun masih dalam keadaan baik.

IMG-20170923-WA0005

Inilah pemilik handphone dan duit yang dijumpai oleh mak saya di Pantai Cenang.

Setelah pulang ke Kuala Lumpur, keluarga saya telah membuat temujanji dengan pemilik barangan tersebut yang bernama Kenjy dan mereka bertemu di sebuah kopitiam tidak jauh dari kediaman ibubapa saya. Apabila mereka berjumpa, Kenjy telah menceritakan bagaimana kejadian itu berlaku. Menurut beliau, dia dan kawan-kawan nya telah pergi bercuti di Langkawi pada 1 ogos 2017. Kejadian malang itu berlaku pada hari pertama percutian di mana mereka telah menyertai aktiviti pantai Banana boat. Semasa aktiviti itu berjalan, Kenjy mengambil video dan ketika itulah beg yang mengandungi handphone dan duit telah terjatuh ke dalam laut. Beliau juga telah kehilangan kunci kereta sewa dan kunci hotel.

Walaupun beliau mengalami masalah pada hari pertama bercuti di Langkawi, namun beliau masih bernasib baik kerana dapat menjumpai semula handphone dan duit yang terjatuh ke dalam laut selama sebulan dan dua puluh dua hari! Ini menunjukan keajaiban masih boleh berlaku di zaman ini. 😉

Sesungguhnya mungkin angin kencang dan air laut yang berombak kuat telah menolak beg gantung plastik yang mengandungi handphone dan duit itu ke pantai. Meskipun kejadian ini amat jarang berlaku namun ianya tidak mustahil sekiranya di izinkan oleh yang maha kuasa. Sekian…

Tragedi pusat tahfiz terbakar di Kampung Datuk Keramat.

Semalam 14 September 2017 Malaysia dikejutkan dengan tragedi kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur. Kejadian itu dipercayai berlaku pada sekitar pukul 5.10 pagi ketika penghuni pusat tersebut sedang tidur. Disebabkan peristiwa itu, maka ramai la yang memberikan pendapat berkaitan. Ada yang tersurat, ada yang tersirat. Tak kurang juga yang mengatakan itu adalah takdir yang tidak dapat dielakkan. Walau apa pun pandangan yang diberikan, mari kita renung sejenak perkara yang berkaitan dengan pusat tahfiz tersebut.

Menurut pengetua pusat tahfiz tersebut seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, bangunan tersebut merupakan bangunan sementara kerana bangunan sebenar masih dalam proses pengubahsuaian. Dia telah menguruskan pusat berkenaan selama 15 tahun dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Masalahnya disini adalah bangunan tersebut tiada ciri-ciri keselamatan dan disahkan tidak mempunyai sijil kelayakan menduduki bangunan serta plan asal yang telah diubah.

Ramai bersimpati terhadap keluarga mangsa dan saya juga mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat. Semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Meskipun ramai yang beranggapan kejadian ini adalah kehendak Allah, namun bagi saya tragedi ini dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan jumlah kematian sekiranya semua peraturan sudah dipatuhi. Saya memang tidak setuju dengan pandangan yang menganggap ini adalah takdir dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Ini seolah-olah membenarkan kecuaian dan tiada langkah pembaikan diambil. Sepatutnya pengetua tahfiz ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang yang berlaku dan bukannya menganggap kematian anak-anak muridnya sebagai syahid semata-mata. Beliau telah meletakkan nyawa kanak-kanak ini dalam bahaya apabila beroperasi di dalam banguan yang tidak cukup syarat dari segi keselamatan. Akhirnya bila kebakaran berlaku, mereka tidak dapat menyelamatkan diri kerana terperangkap. Hanya ada satu pintu keluar dan tingkap pula dipasang jeriji besi.

Sebelum ini kita dikejutkan dengan kes adik Thaqif yang mendakwa dia didera di pusat tahfiz di mana dia belajar. Walaupun keputusan laporan terkini mengatakan sebab dia meninggal adalah kerana jangkitan kencing tikus, ini tidak menafikan fakta bahawa dia telah di dera dipusat berkenaan di mana adik Thaqif telah menceritakan kejadian tersebut di dalam sebuah buku tulis. Siasatan juga mendapati warden asrama yang mendera beliau merupakan seorang bekas banduan yang mempunyai rekod jenayah. Adakah kita mahu seseorang yang mempunyai rekod jenayah menjaga anak kita? Ini jelas menunjukkan pusat tahfiz tersebut mengambil sambil lewa akan latar belakang pekerjanya.

Ada pendapat yang mengatakan banyak pusat tahfiz terlibat dengan kemalangan tragis sebab Allah ingin mengangkat darjat mereka tinggi di syurga. Mungkin ini benar tetapi pernah kah mereka terfikir kebanyakkan pusat-pusat tahfiz ini mempunyai pengurusan yang teruk? Kerana ingin mengejar syurga, mereka membuka pusat-pusat ini tanpa mengambil kira aspek keselamatan dan kelengkapan pelajar. Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebanyak 211 kes kebakaran berlaku di institusi jenis itu sejak 2015. Kenapa masih ramai yang ambil mudah akan fakta ini? Sudah tiba untuk kita bersikap lebih realistik dan bukan menganggap semua kejadian adalah takdir semata-mata. Sekiranya semua aspek keselamatan dan peraturan telah dipenuhi tetapi kemalangan tetap berlaku, ini barulah dikatakan takdir sebab kita sudah mengambil langkah pencegahan namun takdir Allah mengatasi segala-galanya.

Akhir sekali diharapkan kejadian ini dapat membuka mata ramai pihak supaya institusi jenis ini dipantau dan diselaraskan operasi mereka agar memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan. Jangan kerana dibuat atas nama Islam, pihak yang bertanggungjawab hanya menutup sebelah mata apabila ianya menyalahi undang-undang.