Semalam 14 September 2017 Malaysia dikejutkan dengan tragedi kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur. Kejadian itu dipercayai berlaku pada sekitar pukul 5.10 pagi ketika penghuni pusat tersebut sedang tidur. Disebabkan peristiwa itu, maka ramai la yang memberikan pendapat berkaitan. Ada yang tersurat, ada yang tersirat. Tak kurang juga yang mengatakan itu adalah takdir yang tidak dapat dielakkan. Walau apa pun pandangan yang diberikan, mari kita renung sejenak perkara yang berkaitan dengan pusat tahfiz tersebut.
Menurut pengetua pusat tahfiz tersebut seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, bangunan tersebut merupakan bangunan sementara kerana bangunan sebenar masih dalam proses pengubahsuaian. Dia telah menguruskan pusat berkenaan selama 15 tahun dan berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Masalahnya disini adalah bangunan tersebut tiada ciri-ciri keselamatan dan disahkan tidak mempunyai sijil kelayakan menduduki bangunan serta plan asal yang telah diubah.
Ramai bersimpati terhadap keluarga mangsa dan saya juga mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat. Semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Meskipun ramai yang beranggapan kejadian ini adalah kehendak Allah, namun bagi saya tragedi ini dapat dielakkan atau sekurang-kurangnya meminimumkan jumlah kematian sekiranya semua peraturan sudah dipatuhi. Saya memang tidak setuju dengan pandangan yang menganggap ini adalah takdir dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Ini seolah-olah membenarkan kecuaian dan tiada langkah pembaikan diambil. Sepatutnya pengetua tahfiz ini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang yang berlaku dan bukannya menganggap kematian anak-anak muridnya sebagai syahid semata-mata. Beliau telah meletakkan nyawa kanak-kanak ini dalam bahaya apabila beroperasi di dalam banguan yang tidak cukup syarat dari segi keselamatan. Akhirnya bila kebakaran berlaku, mereka tidak dapat menyelamatkan diri kerana terperangkap. Hanya ada satu pintu keluar dan tingkap pula dipasang jeriji besi.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan kes adik Thaqif yang mendakwa dia didera di pusat tahfiz di mana dia belajar. Walaupun keputusan laporan terkini mengatakan sebab dia meninggal adalah kerana jangkitan kencing tikus, ini tidak menafikan fakta bahawa dia telah di dera dipusat berkenaan di mana adik Thaqif telah menceritakan kejadian tersebut di dalam sebuah buku tulis. Siasatan juga mendapati warden asrama yang mendera beliau merupakan seorang bekas banduan yang mempunyai rekod jenayah. Adakah kita mahu seseorang yang mempunyai rekod jenayah menjaga anak kita? Ini jelas menunjukkan pusat tahfiz tersebut mengambil sambil lewa akan latar belakang pekerjanya.
Ada pendapat yang mengatakan banyak pusat tahfiz terlibat dengan kemalangan tragis sebab Allah ingin mengangkat darjat mereka tinggi di syurga. Mungkin ini benar tetapi pernah kah mereka terfikir kebanyakkan pusat-pusat tahfiz ini mempunyai pengurusan yang teruk? Kerana ingin mengejar syurga, mereka membuka pusat-pusat ini tanpa mengambil kira aspek keselamatan dan kelengkapan pelajar. Menurut statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebanyak 211 kes kebakaran berlaku di institusi jenis itu sejak 2015. Kenapa masih ramai yang ambil mudah akan fakta ini? Sudah tiba untuk kita bersikap lebih realistik dan bukan menganggap semua kejadian adalah takdir semata-mata. Sekiranya semua aspek keselamatan dan peraturan telah dipenuhi tetapi kemalangan tetap berlaku, ini barulah dikatakan takdir sebab kita sudah mengambil langkah pencegahan namun takdir Allah mengatasi segala-galanya.
Akhir sekali diharapkan kejadian ini dapat membuka mata ramai pihak supaya institusi jenis ini dipantau dan diselaraskan operasi mereka agar memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan. Jangan kerana dibuat atas nama Islam, pihak yang bertanggungjawab hanya menutup sebelah mata apabila ianya menyalahi undang-undang.